Monday, 15 February 2010

Info Bulan Rabiulawal

Pengertian.
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim bunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Peristiwa-peritiwa penting bulan Rabiulawal

Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW.
Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiulawal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiulawal di setiap tahun sehinggalah sekarang.

Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad SAW berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

Hijrah.
Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika ini di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

Peperangan.
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah SAW diantara tentera islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyam.

Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah SAW.
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

Abu Bakar r.a Menjadi Khalifah.
Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera melantik saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa’idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ini adalah nadi sesebuah kerajaan dan sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saidina Ali.

Pembukaan Iraq.
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar.

Pembukaan Baitul Muqaddis.
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

Kejatuhan Empayer kerajaan Islam Sepanyol.
Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

0 komen: