Sunday, 25 March 2007

Kontroversi menanam al-Quran di Kutub Utara

Batalkan hasrat – Mufti


KUALA LUMPUR 24 Mac – Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang bakal mengharumkan nama negara menerusi ekspedisi solo ke Kutub Utara pada bulan depan dinasihat membatalkan hasratnya untuk menanam al-Quran di benua ais itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia adalah satu penghinaan kepada al-Quran.

‘‘Al-Quran untuk dibaca dan dihayati, bukan untuk ditanam, saya tidak bersetuju, minta dia jangan teruskan benda (perbuatan) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbincangan pelaksanaan resolusi-resolusi yang diluluskan dalam Kongres Umat Islam Malaysia (Kuisma) di sini, hari ini. Harussani mengulas mengenai hasrat Sharifah Mazlina, 42, mengenai hasratnya untuk menanam senaskhah al-Quran kecil pemberian guru agamanya bagi membuktikan orang Islam mampu melakukan sesuatu yang bersejarah.
Menurut Sharifah Mazlina, cadangan menanam al-Quran itu dipersetujui beberapa pakar agama yang ditemuinya. Beliau sebelum ini berjaya menyempurnakan misi merentas Kutub Selatan pada tahun 2004 dalam tempoh 22 hari.

Harussani berkata, bantahannya bukan kerana bimbang al-Quran akan dipijak oleh pihak-pihak lain yang melakukan ekspedisi selepas itu sebaliknya kerana ia membawa maksud seolah-olah kitab suci itu sudah mati.
‘‘Ini bukan masalah dipijak, ia berkaitan al-Quran ini mesti dihidupkan, kenapa kita tanam. Jadi seolah-olah kita menyatakan ia sudah mati,” tegasnya.




alfarisi - sy setuju dengan SS Datuk Harussani, ia umpama menghina Al-Quran dengan cara yg terhormat... sanggup tanam Al-Quran semata-mata nak harumkan nama negara? dan sy tertanye-tanye siapa pula 'pakar agama yg menghalalkan' tindakan keji itu?

0 komen: