Monday, 12 February 2007

Haram meraikan Hari Kekasih

Apakah hukum menyambut Hari Kekasih(Valentine’s day) ?

Jawapan:
Hukum menyambut sesuatu perayaan dikategorikan kepada sebab ia diraikan dan di sini wujud dua sebab:

Pertama kerana keagamaan dan Kedua kerana kebiasaan adat dan peradaban manusia. Perayaan kerana keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Id al-Fitri dan Id al-Adha. Haram hukumnya untuk orang Islam menyambut Hari Easter, Christmas, Thaipusam atau mencipta apa-apa perayaan agama yang baru. Perayaan kerana adat dan peradaban pula bergantung kepada ciri-ciri perayaan itu sendiri. Jika ia bersih dari unsur syirik, khurafat dan yang seumpama maka ia diharuskan. Contoh perayaan atau sambutan dalam kategori kedua ini ialah Hari Guru, Hari Wilayah, Hari Warga Tua dan sebagainya. Merujuk kepada sambutan Hari Valentine, ia adalah perayaan yang

[1] Berasal dari kaum Ahli Kitab dan

[2] Lahir kerana faktor keagamaan, iaitu kisah seorang wali Kristian bernama Saint Valentine yang dipenjarakan sehingga mati kerana perjuangan agamanya. Ketika dalam penjara beliau banyak menulis tentang mengeratkan kecintaan dan kasih sesama umat Kristian. Hari kematian beliau ialah 14 Februari 270 C.E.

Oleh itu sambutan Hari Valentine dilarang dalam Islam. Lebih dari itu syari’at Islam memerintahkan kita untuk membezakan diri daripada orang bukan Islam supaya kita memiliki maruah, identiti dan ciri-ciri keistimewaan tersendiri. Tidaklah menjadi sumber kebanggaan jika kita hanya meniru ciri-ciri umat yang lain, apatah lagi umat yang ditiru adalah musuh bagi Islam dan umat Islam.

Firman Allah: Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya. [1]

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Barangsiapa menyerupai satu kaum maka menjadilah dia kaum tersebut. [2]

Jika dianggap bahawa Hari Valentine memiliki manfaat di dalamnya seperti merapatkan hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga, kita sebagai umat Islam memiliki cara tersendiri. Contohnya kita boleh memanfaatkan setiap hari Jumaat sebagai hari untuk merapatkan hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga dengan berkumpul bersama, makan malam bersama (Khamis malam Jumaat) dan pergi bersolat Jumaat bersama.

+ Nota Kaki +
____________________________________________________________________
[1] Surah al-Hadid (57):16
[2] Hasan sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Khatib dan Ibn ‘Asakir, dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 4031.

0 komen: