Friday, 16 September 2005

Hikmah Disebalik Musibah

Umpama pepatah – langit tidak selalu cerah – begitulah untung nasib manusia. Justeru, dalam meniti detik perjalanan hidup, pasti ada pada masanya kita akan mengalami erti kesengsaraan dan kekecewaan. Bahagia dan ketenangan hati yang dikecap sekian lama umpama lenyap begitu saja.

Tiada siapa yang menyangka, dengan sekelip mata kita mungkin kehilangan orang dikasihi. Ibu bapa atau isteri meninggal dunia akibat kemalangan. Kisah lain mungkin kita dibuang kerja atau perniagaan yang diharap menampung kehidupan keluarga akhirnya muflis. Kebanyakan kita mungkin kecewa, sedih dan tertekan pada mulanya,
fikiran buntu mengenangkan kehidupan diri dan keluarga selepas itu.

Lebih ditakuti apabila akhirnya menyalahkan takdir, malah sudah ada cerita dan kes di negara ini atau di negara lain, si polan membunuh diri atau melakukan perkara yang tidak waras akibat tekanan hidup.

Ramai yang mudah berputus asa daripada memikirkan cara menangani masalah dan ujian itu. Masalah sebegini walaupun tidak dapat diatasi, mereka harus menerimanya dengan reda dan yakin pasti ada hikmah di sebalik peristiwa pahit itu.

Mungkin hikmah itu terselindung di sebalik kebendaan duniawi, tetapi tidak di sisi Allah kerana manusia beruntung adalah yang mendapat keredaan-Nya. Jika kita menjadikan akhirat dan reda Allah itu sebagai matlamat, maka segala ujian bersifat keduniaan dianggap remeh saja.

Allah adalah pencipta manusia, maka Dia mengetahui bahawa pasti ada hamba-Nya yang akan bersedih akibat mengalami 'zaman kejatuhan'. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih antaranya apabila diusir dan dikasari penduduk Taif sehingga kepalanya berdarah, ketika cuba berdakwah selepas kematian isteri, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukashafah al-Qulb menerangkan barang siapa ingin selamat daripada azab Allah, dapat pahala dan rahmat-Nya serta masuk syurga, hendaklah dia menahan nafsu terhadap keinginan dunia, selain sabar menghadapi kesulitan dan musibahnya.

Sebagai insan yang mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya, yakinlah bahawa segala kesulitan yang dihadapi dengan sabar tidak membawa sebarang kerugian. Ia sebenarnya peluang untuk mendekatkan diri dengan pintu syurga.

Sedarlah, kita mungkin ditimpa kesulitan, tetapi bersyukurlah kerana masih hidup dan memiliki kudrat untuk merubah kesulitan itu berbanding insan lain yang lebih berat tekanan dan dugaannya.

Adakah kesulitan kita itu lebih pedih daripada kesulitan ditanggung nabi dan wali Allah? Adakah sakit kita itu lebih teruk daripada penyakit Nabi Ayub? Adakah susah kita itu lebih teruk daripada cabaran dihadapi Rasulullah?

Yakinlah di sebalik kesusahan yang dihadapi, pasti ada insan lain yang lebih sukar kehidupannya. Ketika sedih. Fikirlah mengenai kebahagiaan yang sudah lama diperoleh, tetapi kesenangan itu mungkin membuatkan kita terlalai.

Justeru, adulah segala kegelisahan yang menjelma, kesulitan yang membuntukan dan kesedihan yang tidak terzahir kepada Allah. Pohonlah dengan penuh tawaduk dan berharap kepada-Nya di samping berusaha mengubah keadaan, nescaya Dia perkenankan. Hal ini kerana itulah janji Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

0 komen: