Wednesday, 24 August 2005

Angkasawan Malaysia : Oktober 2007


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Angkasawan pertama Malaysia dijadual berlepas ke angkasa lepas pada Oktober 2007.

Angkasawan itu akan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 402.34 kilometer dari permukaan bumi di antara enam hingga lapan hari. Sejak permohonan menyertai program ini dibuka kepada orang ramai pada 13 Oktober sehingga tarikh tutup 31 Disember 2003, sebanyak 11,275 permohonan diterima. Program angkasawan Malaysia diumumkan pada 7 Ogos 2003 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman ketika mengumumkan perkara ini di majlis taklimat media mengenai Larian Angkasawan di sini, hari ini berkata: "Proses pencarian calon akan bermula Sabtu ini di Kuantan, Pahang, melalui ujian larian sejauh 3.5 kilometer yang perlu dihabiskan dalam tempoh 20 minit". Mereka yang layak seterusnya akan menjalani pemeriksaan perubatan am serta penerbangan dan profil fisiologi yang mengambil masa 14 hari.

"Lima hingga 10 calon yang disenarai pendek kemudiannya akan dihantar menjalani pemeriksaan dan latihan terperinci seperti yang disyaratkan Agensi Angkasa Rusia selama dua hingga tiga minggu". "Daripada jumlah ini, mereka seterusnya akan melalui saringan terakhir oleh agensi berkenaan di Rusia". "Kita kemudiannya akan memilih dua calon, salah seorang sebagai simpanan untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin, Star City, Rusia selama 18 bulan bermula Januari tahun depan," katanya. Beliau memberitahu, rakyat Malaysia yang terpilih itu merupakan individu yang benar-benar layak dan lulus kesemua ujian yang diadakan termasuk di dalam dan luar negara.

0 komen: