Wednesday, 29 June 2005

RM 50 versi polimer


Wang polimer RM 50 berlatarkan Stadium Bukit Jalil.

p/s: gambar RM 50 yang baru ni aku dapat dari member. aku dah cube cari info pasal RM 50 ni kat internet tapi tak jumpe. tak pasti same ade Bank Negara akan perkenalkan wang kertas ni tak lame lagi atau pon gambar ini sekadar imaginasi pelukis.

Tuesday, 28 June 2005

Kesahihan Lirik Nasyid

Balqis - Unic
Hanya sekelip mata mahligaimu pun beralih
Ifrit memindahkannya tanpa kau sedari
Kebijaksanaan Sulaiman telah merubah sekeping hati
Akhirnya Balqis akur juga akan kelemahan pada diri

- Istana Ratu Balqis sebenarnya telah dipindahkan oleh seorang pemuda soleh yang telah dikurniakan kehebatan untuk memindahkan istana dalam sekelip mata. cuba semak tafsir Al-Quran tentang peristiwa istana Ratu Balqis dipindahkan.

Aku Hanya Umar - Hijjaz
Sebelum disapa sinar iman
Kau bagaikan singa yang mengganas
Membunuh anak perempuanmu
Tanpa rasa belas dan kasihan
Dipandu hati sekeras batu
Jahiliah yang menyesatkan

- aku ada terbaca dalam sebuah forum, tentang topik adakah Saidina Umar penah membunuh anaknya sendiri. Ade seorang forummer telah mengemukakan fakta yang mampu menangkis hujah itu. Jika fakta itu benar, maksudnya Saidina Umar memang tak pernah membunuh anak perempuannya. Kemungkinan besar cerita Saidina Umar membunuh anak perempuannya itu disebarkan oleh golongan Syiah yang sememangnya bencikan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Bacalah - Raihan
Utlubul 'ilma walaw fissin
Tuntutlah ilmu Walau ke negeri China


- Hadith diatas adalah hadith palsu yang paling popular. cuba cari Artikel 100 hadith palsu di http://alahkam.net

Aku hanya menyampaikan apa yang aku tahu. Sesungguhnya hanya Allah Taala yang Maha Mengetahui tentang segalanya. Seandainya aku tersilap, silalah tegur. Wallahua'lam

Wednesday, 22 June 2005

Masjid Al-Azim - Mercu Tanda Melaka



Masjid Negeri Al-Azim bukan sahaja mempunyai seni bina unik, malah menjadi mercu tanda Melaka sebagai pusat pengembangan Islam sejak zaman Kesultanan Melayu. Keindahannya terletak pada tapak berbentuk segi empat dan disesuaikan dengan bumbung tiga tingkat. Sekali imbas, ia tidak ubah seperti sebuah pagoda.

"Rekaan masjid dengan tapak dan bumbungnya yang bertingkat sebenarnya memenuhi hakikat Islam itu sendiri yang terdiri daripada empat unsur utama," jelas Imam Besar Masjid Negeri Al-Azim, Mohammad Hashim.

Menurut beliau, tapak tersebut melambangkan syariat, iaitu perundangan Islam dan tingkat pertama pula membawa maksud tariqat yakni jalan mendekati Allah. Manakala tingkat kedua pula ialah haqiqat iaitu mencari kebenaran Allah dan tingkat ketiga melambangkan makrifat yakni mengenal Allah.

Puncaknya yang berukir-ukir pula digantikan dengan dom. Pembinaan masjid di Melaka bermula pada kurun ke-15 dan abad sebelumnya hinggalah abad ke-18. Ia mengambil reka bentuk istana dan rumah-rumah pembesar kerajaan Melayu atau rumah orang-orang kenamaan yang dibina daripada kayu dan bumbung mengadap ke arah kiblat.

Bagaimanapun terdapat beberapa masjid telah dibina semula dengan bangunan batu pada abad ke-18 seperti Masjid Peringgit, Kampung Hulu dan Tengkera. Ia menjadi contoh kepada pembinaan masjid yang seterusnya di Melaka. Rekaan yang sama juga terdapat di Kelantan dan Masjid Demak di Tanah Jawa. Keindahan Masjid Negeri Al-Azim juga terletak pada seni ukiran sulur bayung di setiap hujung tulang bumbung bangunannya.

"Sulur bayung ini diilhamkan daripada sejenis tumbuhan liar di tepi sungai yang menggambarkan genggaman tangan semasa bertahiyat," ujar beliau merujuk kepada salah satu ciri keistimewaan ukiran Melayu berunsurkan Islam.

Tambah Mohammad, tiga tingkat atap berwarna hijau tua yang menuju ke arah sebuah dom berwarna kuning di bahagian puncaknya, menjelaskan tentang sesuatu permohonan hamba yang mengharapkan penerimaannya oleh Allah s.w.t. Menaranya setinggi 57.3m pula dibina berbentuk segi lima yang bertunjangkan kepada rukun Islam. Susur galur sejarah membuktikan, kewujudan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 telah memberi impak kepada penyebaran dan perkembangan agama Islam di rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia, sebahagian negara Indonesia dan selatan Filipina.

Sebelum kedatangan Parameswara, dipercayai penduduk Melaka telah menganut agama Islam sejak tahun 1306 Masihi. Bagaimanapun, penduduk-penduduk di Melaka masih menerima Islam hingga abad ke-15 (1413 Masihi). Parameswara juga dengan rela hati memeluk agama Islam diikuti oleh pembesar istana dan rakyat jelata.

Pengislaman sultan dan rakyat Melaka itu adalah menerusi Sayed Abdul Aziz yang berasal dari tanah Arab dan mendarat di pantai Melaka ketika waktu Asar. Parameswara menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah. Dengan wujudnya kerajaan yang beragama Islam, bangunan-bangunan masjid dijadikan tempat beribadat dan perhimpunan sosial di kala berlakunya malapetaka yang boleh menjejaskan kerajaan dan negeri pada ketika itu.

"Secara tidak langsung, jika kita lihat pada hari ini, masjid memainkan peranan yang cukup penting kepada masyarakat. Di sinilah pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan dijalankan," katanya merujuk kepada perkembangan Melaka sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam yang masyhur sebelum dijajah Portugis.

Jelas beliau, simboliknya pembinaan Masjid Negeri Al-Azim adalah untuk meneruskan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam menegakkan syiar Islam.

"Masjid ini mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan bermula pada 14 Mac 1984 dan mula digunakan pada 12 Januari 1990," ujarnya.

Projek pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM19.5 juta itu dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 13 Julai 1990 Masihi bersamaan 20 Zulhijjah 1410 Hijrah. Masjid yang terletak di atas tapak seluas 25 ekar (10.15 hektar) dimulakan dengan pembinaan fasa pertama yang terdiri dari dewan sembahyang utama, mezzenine, bilik mesyuarat dan bilik imam, bilik VIP, bilik wuduk dan bilik air, bilik persalinan pakaian, rumah pegawai masjid, tempat letak kenderaan dan landskap taman. Luas keseluruhan bangunan ini kira-kira 6,741 meter persegi termasuk tiga buah anjung yang mengandungi pintu masuk dan sebuah menara.

Fasa kedua pula mengandungi dewan kuliah/bilik syarahan, balai pameran Islam, auditorium, kafeteria, bilik santapan diraja dan perpustakaan. Dewan sembahyang utamanya meliputi seluas 5,351 meter persegi di tingkat bawah boleh menampung seramai 9,700 jemaah. Bagi mengukuhkan binaan bumbungnya, sebanyak tiga batang tiang besar dibina bagi setiap empat penjuru masjid. Ruang mezzanine di tingkat atas pula mempunyai keluasan 383.21 meter persegi yang dikhaskan untuk 700 jemaah wanita. Ia dikelilingi pagar besi berukir dengan unsur Islamik yang cantik.

Melewati ruang solatnya, kelihatan sebuah mihrab yang dibina daripada batu marmar import dan dihiasi dengan kepingan logam berukir. Ia terletak berhadapan dengan dewan sembahyang utama yang menandakan arah kiblat mengarah ke Baitullah, Mekah dan berfungsi sebagai tempat imam memimpin sembahyang Jumaat.

Bersebelahan kanannya terdapat sebuah mimbar iaitu ruang khatib membaca khutbah Jumaat setinggi 4.57 meter dengan kelegaan seluas 1.37 meter per segi yang dihias cantik dan mempunyai nilai seni ukir yang tinggi diperbuat daripada kayu cengal terbaik. Menurut Mohammad, satu lagi keunikan masjid ini terletak pada ukiran tulisan khat ayat-ayat al-Quran yang bersesuaian dengan konsep dan falsafah pembinaan Masjid Negeri Al-Azim.

"Jika kita lihat di bahagian atas ruang dalaman diukir dengan ayat 35-39 surah An-Nur, manakala ayat Kursi (255-258) diukir pada bahagian bawahnya. Selain itu, mihrab ini juga dihiasi dengan ayat 144 surah Ali Imran. Bagi mengimarahkan masjid dengan nilai-nilai keislaman, ketiga-tiga pintu besar juga diukir dengan potongan ayat al-Quran," jelas beliau.

Sepanjang perjalanan dari Tanjung Bidara menuju Bukit Pala, boleh dikatakan hampir kebanyakan masjid dan surau mempunyai reka bentuk yang serupa, seperti mana keunikan rumah tradisional Melaka yang terletak pada binaan tangganya. Begitulah istimewanya sebuah negeri yang kecil tetapi kaya khazanah seni dan warisan Melayunya.

Sunday, 19 June 2005

Ilmu itu Cahaya. Jahil itu Bahaya

Di akhir zaman ini ramai dari kalangan ahli abid tertipu dengan banyaknya ibadah yang dilakukan. Berlakunya ini semua kerana si ahli abid merasakan setiap ibadah yang dikerjakan tanpa menyandarkan perbuatan dan amalannya itu dengan izin dan rahmat Allah jua.

Tanpa keizinan Allah, tanpa rahmat dan kasih sayang Allah serta tanpa kudrat dan Iradah dari Allah swt, kita semua lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau tidak Allah izinkan, hendak gerakkan lidah untuk bertutur bicara pun kita tidak akan mampu apatah lagi untuk duduk bangun, rukuk, sujud menyembah Allah swt.

Maka patutkah kita berbangga dan sombong dan berasa hebat kiranya kita berjaya dan berkebolehan dalam melaksanakan sesuatu amalan? Kalau kita mampu bangun malam beribadah dan banyak sembahyang sunat hingga kita menjadi abid, siapakah yang hebat? Kita hebatkah atau Allah yang hebat? Tentulah Allah yang hebat kerana Allah telah memberikan kita kemampuan untuk beribadah, kalau kita bersembahyang, berpuasa, menutup aurat, mampu menulis artikel dan sebagainya, apakah itu semua keupayaan kita?

Tidak itu semua dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Tanpa rahmat dan kasih sayang Allah tentu kita engkar dan sesat seperti orang lain juga. Ingatlah, pembaca budiman kiranya kita angkuh, riak, ujub dan takabur dengan apa yang ada pada kita, tidak mustahil suatu hari Allah akan tarik balik nikmat-Nya yang dikurniakan kepada kita.

Katalah ketika ini kita tergolong ke dalam golongan orang yang berharta, kaya raya, harta melimpah ruah kita pun tidak sedar diri. Kononnya kitalah manusia yang paling mewah dan kaya raya di dunia ini. Hasil dari sifat takabur dan angkuh itu sudah tentu kita menjadi seorang yang kedekut, bakhil, tamak dengan harta, mahu keluarkan sepuluh sen pun untuk membantu anak-anak yatim dan fakir miskin fikir seribu kali. Harta itu hanya pinjaman Allah, sekelip mata Allah boleh papa kedanakan si kaya yang sombong.

Andaikata seseorang itu dikurniakan ilmu kepadanya sehingga dengan ikmunya itu jadilah dia orang terkenal, di sanjung di puja maka mulalah penyakit hati menyerang jantung kalbunya jadilah dia seorang ahli ilmu yang bongkak, rasa diri lebih, lebih bijak dari orang lain, pandangan dan pendapat orang lain semuanya salah, pandangannya sajalah yang tepat dan betul. Golongan ini sungguh tertipu dan rugilah ia kalau ia tidak cepat-cepat bertaubat.

Walaupun kita menjadi seorang alim ulama atau penulis artikel tapi itu semua bukannya membuktikan kehebatan kita, bukan juga kepandaian dan kepintaran kita tetapi itu semua rahmat dan pinjaman dari Allah semata-mata. Itu satu amanah dari Allah, di akhirat kelak Allah akan persoalkan…. “Ilmu yang penuh di dalam dadamu wahai hambaku…. ke mana kamu salurkan? Adakah untuk mengajak manusia menyembah Aku atau dengan ilmu itu engkau menyesatkan dirimu juga orang lain?” Alangkah malangnya ketika itu kiranya jawapan demikian kita persembahkan kepada Allah swt (kerana di akhirat nanti tidak boleh lagi kita berbohong dan berselindung
apa-apa dari Allah):

“Tuhanku, aku gunakan ilmu yang Engkau kurniakan untukku dahulu ke jalan kemurkaan-Mu, dengan ilmu itu ku ambil peluang untuk mencari publisiti, cari nama dan kemasyhuran, cari kemewahan, memandang rendah dan hina pada si jahil yang sepatutnya aku yang bertanggungjawab membasmi kejahilan di dada hamba-hamba-Mu, semakin aku lupa pada-Mu, semakin eku ego, sombong dan rasa diriku tuan, malah bila orang lain sesekali buat kesalahan, aku hukum mereka, seolah-olah aku Tuhan…..”

Maka menangislah golongan ahli ilmu yang tertipu dengan ilmunya itu. Menurut Matan Zubat: “Ahli ilmu yang fasik akan dibenci Allah dan akan dihumbankan ke dalam lubuk neraka lebih dahulu daripada orang kafir penyembah berhala.” Wal ‘iyazubillah.

Alangkah beruntungnya ketika Allah minta pengakuan dari hambanya di Yaumil Mahsyar kelak kita dapat menjawab sekurang-kurangnya begini:
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan ilmu yang Engkau kurniakan padaku, kugunakan sebaik-baik penggunaan. Aku mengajak manusia yang jahil ke arah kebenaran, aku menyeru umat manusia agar menyembah-Mu, sujud syukur pada-Mu, aku mengajak manusia beriman pada-Mu, pada Rasul-Mu dan pada hari kemudian, pada syurga dan neraka-Mu, kuajak lagi manusia agar berfikir tentang keagungan dan kehebatan-Mu menjadikan alam yang luas terbentang ini…..”

Begitulah jawapan orang yang alim yang terpimpin lagi di kasihi Allah. Semakin berilmu semakin ia rendah diri, semakin ia merasakan dirinya lebih banyak dosa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain, seringkali merasakan dirinya tiada apa-apa hanya yang ada seribu kelemahan dan kekurangan. Inilah resmi padi, makin berisi, semakin tunduk ke bawah.

Selamatlah golongan ini. Ilmu yang beginilah yang dikatakan membawa cahaya kepada mereka yang berilmu. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi hidup seseorang insan yang sedang teraba-raba dalam kegelapan. Ilmu yang mengajak manusia mengenal dan mentauhidkan Allah. Bukannya ilmu yang semakin didalami semakin ia lupa pada Allah, semakin tinggi ilmunya semakin ia kufur dengan Allah.

Tanda ilmu itu tidak berkat, semakin kita menuntut ilmu semakin angkuh dan sombong, samada dengan Allah mahupun sesama manusia. Semakin berilmu semakin rasa diri hebat, tidak langsung merasa hebatnya dan Maha Kuasanya Allah. Semakin menuntut ilmu, penyakit hati semakin tebal bersarang dalam dada seperti sombong, ego, riak, ujub, takabur, merasa diri mulia, memandang rendah pada orang lain dan sebagainya.

Andai kata kita tidak sempat bertaubat sedangkan dalam diri kita penuh dengan penyakit-penyakit hati itu, ingatlah tempat yang selayaknya adalah lubuk neraka yang terbawah sekali. Lebih berat lagi para alim ulama yang tidak beramal dengan ilmunya dan tidak menyampaikan ilmu yang ada dalam dadanya pasti akan mendapat laknat daripada Allah. Mereka masuk neraka lebih dulu dari penyembah berhala.

Marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua menjadi ahli ilmu yang bakal menerangi alam fana ini dengan cahaya ilmu yang kita pelajari. Sematkan dalam dada dan hati: “Aku akan membasmi kejahilan kerana kejahilan itu bahaya dan bisa menjerumuskan diriku ke neraka dan bisa menghancurkan perpaduan umat Islam di dunia ini.”